Kentang Russet
Russet adalah jenis kentang yang digunakan secara paling meluas di Amerika Syarikat. Sebahagian besarnya ditanam di kawasan barat laut. Kentang jenis ini boleh didapati sepanjang tahun, lebih berkanji dan boleh dikenali daripada kulit perang bersirat dan isi putih. Disebabkan kandungan kanjinya yang tinggi, teksturnya bertepung bila dimasak, menjadikan kentang jenis ini sesuai untuk dibakar, digoreng dan dilecek. Kentang ini juga dianggap sebagai kentang serba guna yang baik.
Jenis utama termasuk: Burbank, Norkotah, Ranger, Shepody
Kentang Putih Bulat
Kentang ini boleh didapati sepanjang tahun. Kentang putih bulat mempunyai kandungan kanji sederhana tinggi dan kulit nipis warna perang muda dengan isi putih. Teksturnya gebu dan bentuknya kekal selepas dimasak. Dianggap sebagai kentang serba guna, kentang putih bulat boleh digunakan dengan pelbagai cara dan amat sesuai untuk salad dan sajian yang berkeluk, dikukus, digoreng atau dipanggang.
Jenis utama termasuk: Atlantic, Katahdin, Norwis, Reba, Superior
Kentang Putih Panjang
Kentang putih panjang berbentuk bujur, dengan kandungan kanji sederhana tinggi dan kulit nipis berwarna perang muda. Kentang jenis ini mempunyai tekstur pejal gebu bila dimasak. Kentang putih panjang sesuai untuk direbus, dimasak dalam ketuhar gelombang mikro dan ditumis goreng. Ia juga adalah kentang serba guna.
Jenis utama termasuk: Kennebec, White Rose, Cal-White
Kentang Merah
Kentang merah kini boleh didapati secara lebih meluas hampir sepanjang tahun. Ia boleh dikenali daripada kulitnya yang secara semula jadi berwarna merah, dengan isi putih, kuning ataupun merah. Kentang merah mempunyai tekstur kental, licin dan berlilin, menjadikannya sesuai untuk dibakar, dikukus, direbus dan juga dibuat salad. Kentang merah sering dirujuk sebagai “kentang baru” tetapi secara teknikalnya, “baru” merujuk kepada apa jua kentang yang dituai sebelum matang.
Jenis utama termasuk: Chieftain, Dakota Rose, La Rouge, Norland, Red La Soda
Kentang Kuning
Kentang kuning semakin digemari di Amerika Syarikat dan kini boleh didapati hampir sepanjang tahun. Kentang jenis ini mempunyai tekstur padat dan gebu, dengan warna keemasan dan kelembutan rasa mentega. Kentang kuning sesuai untuk dilecek, dipanggang, dibakar, direbus dan dikukus.
Jenis utama termasuk: Yukon Gold, German Butterball, Sierra Gold
Kentang Biru Dan Ungu
Kentang ini berasal dari Amerika Selatan dan sudah mula popular di Amerika Syarikat. Kebanyakan kentang biru dan ungu boleh didapati pada musim luruh. Kentang yang boleh dianggap luar biasa ini mempunyai rasa seperti kekacang, dengan isi aneka warna, daripada warna biru tua atau lavender hingga warna putih. Warnanya kekal bila dimasak dalam ketuhar gelombang mikro, tetapi ia juga boleh dipanggang dan dikukus. Warna kulit semula jadinya juga memberikan warna biru dan ungu menarik kepada mana-mana sajian.
Jenis utama termasuk: Purple Peruvian, All Blue
Kentang Jejari
Kentang jejari adalah satu daripada sajian paling hangat di restoran Amerika. Kentang kecil ini berbentuk tiub lonjong panjang seperti jari manusia. Ia boleh didapati dalam aneka warna semula jadi yang menarik, sungguhpun kebanyakannya mempunyai isi warna kuning. Ukuran panjangnya dari 5 hingga 10 sentimeter, dengan garis pusat 2.5-5 sentimeter. Teksturnya yang kental dan melekit menjadikannya sesuai dikukus, dibakar, direbus dan dijadikan salad.
Jenis utama termasuk: Russian Blue, Red Thumb, French Russian Banana